Jentera Pilihanraya Warisan DUN Karanaan siap siaga hadapi PRN: Awasi –


AWASI Tan Sri Ghani (tengah) bergambar pada majlis itu

RANAU: Naib Ketua Bahagian Parti Warisan (PWS) Ranau, Awasi Ganie@Yasin Bin Abd Ghani serta jentera pilihanraya di kawasan tersebut sudah bersiap siaga dalam menghadapi PRU15 Negeri yang akan datang.

Bercakap kepada media pada hari Sabtu, beliau walaubagaimanapun menyifatkan kemelut politik yang berlaku beberapa hari yang lalu sehingga pembubaran DUN merupakan sesuatu yang di luar jangkaan.

“Namun begitu, di peringkat DUN Karanaan kita sudah menerima arahan dari peringkat atasan untuk menerajui pergerakan Parti Warisan di kawasan ini. Dan sebelum ini pun kita sudah membuat persediaan yang sewajarnya,” jelas beliau.

Kerusi untuk DUN Karanaan sebelum ini dipegang oleh penyandang, Datuk Seri Hj Masidi Manjun daripada BERSATU.

Awasi yang juga Penyelaras Parti Warisan untuk DUN Karanaan merangkap Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) kawasan itu berkata demikian ketika merasmikan Cawangan Parti Warisan Sabah, Kg Paka Satu Ranau di sini hari ini.

Sementara itu, menyentuh tentang kemelut politik yang berlaku baru-baru ini, beliau mempersoalkan tindakan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dan sekutunya yang membuat cubaan rampasan kuasa dengan cara mengemukakan Surat Akuan (SD).

“Tindakan yang wajar adalah bagi beliau membawa usul tidak percaya di Dewan Undangan terlebih dahulu. Tetapi beliau tidak berbuat demikian, dan sebab itulah bagi pihak kami (PWS), jalan yang terbaik ialah menyerahkan kepada rakyat yang menentukan,” katanya.

Dalam majlis itu, turut disaksikan penyerahan borang keahlian Parti Warisan dari seramai 45 orang penduduk kampung tersebut yang diketuai oleh Pengerusi MPKK Kg Paka Satu, Jusilie Binsin.

Terdahulu, Awasi turut menyaksikan penyerahan geran Tanah melalui Program PANTAS oleh Jabatan Tanah di sini kepada lebih 100 orang penduduk di kampung Maukab Ranau.

Di Kg Paka Satu, Awasi turut meninjau lokasi tapak pelancongan di Sungai Tawaras, sebelum menghadiri satu lagi program bersama rakyat di Kg Mininsalu pada hari yang sama.https://borneodailybulletin.com/



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *