KOTA KINABALU JUARAI PIALA BUNG MOKTAR RADIN PERINGKAT ZON PANTAI BARAT –


Alijus menyampaikan piala kemenangan kepada pengurus pasukan Kota Kinabalu, Djohan Dnarno. Turut kelihatan sebahagian ahli jawatankuasa pertandingan tempatan SAFA.

KOTA KINABALU–Pasukan Kota Kinabalu menjuarai Kejohanan bolasepak Piala Datuk Seri Bung Moktar Radin peringkat Zon Pantai Barat selepas mengutip enam mata hasil dua kemenangan dalam perlawanan itu termasukan menewaskan pasukan Putatan 1-0 dalam perlawanan terakhirnya di Padang SAFA Negeri di sini, petang tadi.

Pada Jumaat lepas, Kota Kinabalu berjaya menumpaskan pasukan Papar di padang yang sama pada perlawanan pembukaan kejohanan itu.

Pasukan Papar menduduki naib juara setelah memperoleh tiga mata menerusi kemenangan ke atas pasukan Putatan 2-0, kelmarin.

Manakala pasukan Putatan yang tewas dalam kedua-dua perlawanannya menduduki tempat ketiga kejohanan tiga hari itu.

Juara, naib juara dan tempat ketiga masing-masing menerima sebuah piala dan medal.

Presiden SAFA Bandaraya Kota Kinabalu, Alijus Sipil telah menyempurnakan upacara penutupan kejohanan bawah 18 tahun itu dan seterusnya menyampaikan piala dan medal kepada pasukan-pasukan yang menang.

Dalam ucapannya, beliau berkata, melalui kejohanan itu, bakat-bakat pemain muda akan dapat dicungkil dan akan menjadi pemain pelapis kepada pemain-pemain senior.

“Ini satu peluang yang baik kepada mereka untuk dapat mewakili pasukan Sabah pada masa akan datang,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengingatkan pemain-pemain muda supaya sentiasa mengutamakan disiplin bagi membolehkan mereka dapat pergi lebih jauh.

Menurut beliau, sebagai pemain, mereka perlu mempunyai disiplin yang baik untuk mereka mencapai tahap lebih tinggi.

Alijus juga memuji Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA kerana berjaya menganjurkan kejohanan seumpama itu yang memberi peluang kepada pemain-pemain untuk menunjukkan bakat masing-masing.

Turut hadir pada penutupan kejohanan itu ialah Penolong Setiausaha Agung yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA, Azman Mastar, Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom, ahli majlis tertinggi SAFA, Othman Abdullah, Mustapha Tuah dan Ketua panel pemilih pemain, jurulatih Stanley Chew.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *