Video viral desak pengagihan dana konstituensi secara saksama


Amalan lompat parti, seperti yang dilihat baru-baru ini mengakibatkan kejatuhan kerajaan Melaka, semakin menjadi-jadi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan pencipta kandungan Muhammad Iqbal Fatkhi mengenal pasti satu faktor sebagai punca utamanya.

Beliau menuding jari kepada kekurangan peraturan bagi memastikan pengagihan dana pembangunan konstituensi (CDF) secara sama rata.

Dalam video yang diterbitkan pada Sabtu dan telah ditonton lebih 95,000 kali di pelbagai platform media sosial, beliau berkata, kekurangan pengagihan dana secara saksama ini adalah punca tindakan lompat parti semakin banyak berlaku dalam beberapa tahun lalu.

Kebanyakan negara mempunyai CDF, iaitu pembiayaan oleh kerajaan pusat yang diperuntukkan kepada wakil rakyat untuk projek-projek kecil dalam kawasan mereka.

Lazimnya juga, wujud undang-undang bagi mengawal jumlah yang diagihkan bagi memastikan kesamarataan serta keadilan.

“Malaysia salah satu negara yang tidak memperuntukkan dana bagi pembangunan kawasan secara saksama,” katanya.

Menurutnya, ini bererti Ahli Parlimen pembangkang seolah-olah “dihukum” kerana tidak berada dalam kerajaan, apabila tidak menerima pembiayaan yang cukup untuk digunakan di kawasan mereka.

Ini termasuk bagi membaiki jalan berlubang atau longkang, malah juga bagi pemberian bantuan kebajikan untuk mereka yang memerlukan.

“Ini menjadi insentif untuk wakil rakyat pembangkang melompat parti. Contohnya apabila Ahli Parlimen Umno memilih melompat ke Bersatu (selepas Pilihan Raya Umum ke-14) supaya mereka dapat berkhidmat untuk kawasan masing-masing dengan sokongan kerajaan persekutuan.

“Begitu juga ketika Ahli Parlimen Julau dan Tebrau meninggalkan PKR untuk menyertai kerajaan Perikatan Nasional (pada Mac) demi mendapatkan dana bagi kawasan mereka.”

Katanya, sejarah menunjukkan mereka yang berada dalam kerajaan menerima jutaan ringgit jauh banyak berbanding rakan pembangkang mereka.

Beliau menganggap sebagai positif pengumuman Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Mastura Yazid tahun lalu bahawa semua Ahli Parlimen akan menerima peruntukan sama rata sehingga hujung tahun. Bagaimanapun, tegasnya, sudah tiba masa untuk isu pembahagian dana yang tidak sekata ini ditangani secara kekal.

“Satu perkara yang boleh dilakukan kerajaan adalah untuk meluluskan undang-undang CDF. Ini antara lain dapat memperuntukkan formula pengagihan dana untuk setiap kawasan; memasukkan sumber pembiayaan untuk CDF dalam bajet tahunan; dan mewajibkan wakil rakyat membutirkan bagaimana CDF mereka dibelanjakan. Selain itu, ia dapat menetapkan hukuman untuk ahli politik yang menyalahgunakan atau menyelewengnya.

“Jika keadaan ini tidak diperbaiki, rakyat Malaysia akan terus dihukum kerana pilihan wakil rakyat yang diundi mereka, dan sampai bila-bila pun kita akan melihat Ahli Parlimen melompat parti untuk ‘menyelamatkan diri’ tidak ubah seperti episod siri drama Squid Games.”

Kumpulan pembaharuan pilihan raya Bersih 2.0 juga telah melancarkan petisyen mendesak kerajaan meluluskan undang-undang bagi menangani isu pembiayaan tidak sekata ini, demi memastikan isu itu terus diselesaikan secara kekal.

Jika berminat untuk turut terlibat mendesak perubahan, seterusnya mencapai kestabilan politik yang amat diperlukan negara ini, sila tandatangani petisyen (di sini).





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *